Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Warga emas rugi kena ragut

Warga emas rugi kena ragut - Pahang - Sinar Harian:KUANTAN - “Kita ikhlas tolong mereka tunjukkan arah jalan ke lokasi yang kononnya hendak dituju, namun semua itu hanya helah penjenayah untuk memerangkap makcik,” kata mangsa ragut dua pemuda bermotosikal dalam satu kejadian berhampiran sebuah pusat membeli-belah, di sini, pagi kelmarin.

Mangsa, Zaleha bukan nama sebenar, 62,  yang juga seorang pesara dari Indera Mahkota, di sini, kecewa kerana penjenayah terbabit sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang termasuk bertindak ganas ke atas warga emas sepertinya.

Menurutnya, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, dia bukan sahaja kehilangan rantai emas bernilai kira-kira RM5,000, malah lehernya turut tercedera.

“Makcik tergamam kerana kejadian berlaku dengan pantas, malah langsung tidak menjangkakan dua pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu sebenarnya penjenayah.
“Selepas berjaya meragut rantai yang makcik pakai, mereka terus memecut motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam dan merah melarikan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaleha berkata, dia tidak sempat mengecam nombor pendaftaran motosikal yang digunakan penjenayah terbabit kerana bahagian plat sengaja digelapkan.

“Bagaimanapun seorang rakan yang ada berhampiran sempat mengecam wajah kedua-dua lelaki itu dipercayai warga tempatan walaupun mereka memakai topi keledar,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, mangsa berkata, dia sedang berbual dengan seorang rakan yang kebetulan ditemui di tempat letak kereta di bahagian belakang bangunan pusat membeli-belah tersebut.

“Ketika saya cuba membuka pintu kereta untuk mengambil barang, tiba-tiba dua lelaki bermotosikal berhenti dan mendekati sambil bertanya arah jalan ke satu lokasi yang terletak di Galing.

“Tanpa sebarang syak wasangka, makcik menunjukkan arah kepada mereka, namun pembonceng motosikal tersebut tiba-tiba terus meragut rantai di leher makcik,” katanya.

Menurutnya, dia hampir terjatuh akibat disentap dengan kuat, bagaimanapun sempat berpaut pada pintu kereta.

“Mereka ini memang berpengalaman melakukan jenayah ini, malah pandai menyembunyikan identiti  sebelum mendapat peluang bertindak,” katanya.

Zaleha berkata, kejadian yang menimpanya bukan pertama kali berlaku di situ sebaliknya beberapa hari lalu seorang wanita turut menerima nasib sama dan kerugian dialami lebih besar.

Berikutan kejadian itu, Zaleha membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada hari yang sama.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment