UPP rampas 563 karton rokok
Abdul Latif (kanan) menunjukkan rokok berjenama baru yang dibawa masuk menerusi pintu negeri ini.
KUALA KEDAH - Helah menyembunyikan rokok di sebuah stor belakang kedai yang dipercayai diseludup dari kawasan bebas cukai berdasarkan jenama pada kotak rokok akhirnya berjaya dihidu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), kelmarin.

Komander UPP Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan pada kira-kira jam 11.30 pagi di Kampung Begia, Mukim Teloi, Jeniang.

Menurutnya, hasil serbuan anggota UPP berjaya merampas 563 karton rokok yang terdiri daripada 11 jenis.

“Kesemua rokok yang dirampas pada serbuan itu bernilai RM8,738 dan melibatkan jumlah cukai sebanyak RM41,633.02.

“Serbuan yang dibuat me-rupakan hasil maklumat daripada orang awam dan anggota UPP terus melakukan risikan pada hari sama serbuan dilakukan.

“Tiada tangkapan dibuat kerana rokok ini berada di luar premis kedai itu dan berada di dalam stor manakala pemilik kedai itu tidak mengaku miliknya,” katanya kepada pemberita di pejabat UPP,Kuala Kedah, semalam.

Difahamkan stor menyimpan kesemua rokok yang dirampas diperbuat daripada zink bagi mengaburi mata orang ramai.

Abdul Latif berkata, pihaknya tidak boleh mengaitkan sesiapa berhubung rampasan rokok itu dan siasatan perlu dijalankan.

Menurutnya, hasil rampasan juga mendapati rokok berjenama terbaru turut dibawa masuk menerusi pintu negeri ini.

"Rokok yang diseludup itu berkemungkinan akan dipasarkan di pasaran tempatan iaitu di kawasan sekitar Jeniang.

Walaupun tiada tangkapan dibuat, namun kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kerjasama daripada orang awam dengan memberikan maklumat diharap dapat diteruskan bagi membantu membanteras kes penyeludupan,” katanya.