Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Tumbuk mata tanda amaran

BALIK PULAU: “Saya dalam ketakutan dan membiarkan saja dia (suspek) membuka semua barang kemas dipakai,” kata Fatimah Ahmad, 73, ibu kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang disamun ketika tidur di rumahnya di Jalan Baru, di sini semalam.
Dalam kejadian ketika hujan lebat jam 4.30 pagi itu, Fatimah tidur apabila dia dikejutkan seorang lelaki bersenjatakan pisau.

Katanya, lelaki berkenaan mengarahkannya tidak menjerit jika tidak mahu cedera dan menyerahkan semua barang kemas dipakainya.
“Tidak terlintas untuk melawannya, saya hanya berserah kepada Allah dan membiarkan dia mengambil wang tunai RM3,000 dalam beg tangan hasil pemberian tujuh anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Menurut Fatimah, dia yang ketakutan membiarkan suspek menggeledah rumah dan mengambil rantai emas bernilai RM20,000, rantai tangan, tiga cincin dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan bertindak ganas menumbuk mata kirinya sebagai amaran agar tidak menjerit sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.
Katanya, dia kemudian mendapatkan bantuan jiran dan menghubungi anaknya yang tinggal berhampiran selepas pasti lelaki berkenaan keluar dari rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan, leher mangsa diacukan sebilah pisau menyebabkannya ketakutan lalu menyerahkan semua barangan termasuk barang kemas dan wang tunai dianggarkan bernilai RM33,000 serta dokumen diri kepada suspek.
Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan memotong besi tingkap dan menanggalkan dua cermin tingkap nako.

“Mangsa yang tinggal seorang diri dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan sebelum membuat laporan polis jam 6.30 pagi dengan bantuan jiran.

“Kami masih menjalankan siasatan untuk mengenal identiti suspek mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya.

No comments:

Post a Comment