Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Tragedi waktu pagi

KANGAR: “Saya terkejut apabila bekalan elektrik tiba-tiba terputus dan asap mula memenuhi ruang bawah rumah tidak lama kemudian. Saya terus bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.”
Demikian detik cemas dialami penjawat awam, Yasmin Husin, 53, melalui dugaan pada hari pertama Ramadan apabila beliau sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Repoh, dekat sini, terbakar jam 9 pagi semalam.

Yasmin berkata, ketika kejadian, dia melakukan kerja rumah di tingkat atas rumah, namun terkejut sebaik mendapati bekalan elektrik tiba-tiba terputus sebelum memaklumkan suaminya, Mahmud Kassim, 56, untuk memeriksa punca kejadian itu di bahagian bawah rumah.
“Suami saya yang ketika itu membersihkan kawasan di luar rumah memberitahu dia akan memeriksa punca bekalan elektrik itu terputus selepas menyelesaikan kerjanya.

“Sejurus selepas itu, saya mendapati ruang bawah rumah dipenuhi asap. Saya bergegas menyelamatkan diri melalui tangga belakang dan tidak sempat menyelamatkan barang berharga lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, Yasmin melahirkan rasa syukur kerana ketika kejadian, anaknya yang tinggal bersama mereka tiada di rumah kerana bekerja manakala ibunya keluar mengaji tidak jauh dari rumah mereka.
Anak perempuannya, Wan Nora Syazwani Wan Azmi, 26, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada sepupunya yang tinggal tidak jauh dari kampung itu memaklumkan kejadian yang menimpa keluarganya.

“Saya menerima panggilan sebaik sampai di tempat kerja dan terkejut dengan berita disampaikan sepupu. Saya cuba menghubungi ibu dan ayah tetapi tidak berjaya sebelum bergegas pulang berikutan bimbang keselamatan mereka.
“Menggigil tubuh saya melihat rumah musnah dan tidak sempat menyelamatkan barang penting, namun lega apabila mendapati ibu bapa saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kangar, Subri Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.47 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

No comments:

Post a Comment