Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Tiada air, rumah berlecah

Tiada air, rumah berlecah - Pahang - Sinar Harian:
Tiada air, rumah berlecah
Kenderaan berat yang melalui jalan di sini didakwa punca saluran paip ini bocor.
FELDA TRIANG 3 – Penduduk di sini merungut ekoran Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) melengah-lengahkan kerja membaik pulih saluran paip yang bocor sejak seminggu lalu dengan memberikan alasan tidak munasabah.

Seorang penduduk, Razali Mohd Noh, 57, berkata, sebanyak 14 kali aduan dibuat menerusi panggilan telefon dan dua kali penduduk ke pejabat Paip untuk mengadu hal ini.

Menurutnya, antara alasan yang diberikan adalah kakitangan tidak mencukupi untuk melakukan kerja baik pulih, masalah kebocoran paip yang dialami itu kecil dan hanya sebuah rumah sahaja yang terputus bekalan air di kawasan Blok 9 itu.

“Pada pandangan saya, tidak wajar kakitangan yang bertugas pada waktu itu memberikan jawapan sedemikian. Jika dikatakan kakitangan tidak mencukupi, saya mungkin boleh memahami keadaan itu.

“Tetapi, apabila mereka mengeluarkan kenyataan bahawa masalah itu terlalu kecil, tindakan tersebut sememangnya tidak wajar. Terputus bekalan air bukanlah isu remeh-temeh kerana air adalah keperluan hidup,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati saluran paip itu bocor di beberapa tempat sehingga melimpah ke perkarangan beberapa rumah di sini.

Difahamkan, kenderaan berat yang sering melalui jalan ini untuk melakukan kerja pembinaan Projek Perumahan Generasi Kedua di sini adalah punca utama masalah tersebut.

Bekalan air terputus

SEORANG penduduk, Abdul Manaf Shafie, 50, berkata, jika mahu ditunggu sehingga projek perumahan itu siap, keluarganya akan berhadapan dengan krisis air.

Katanya, sejak paip itu bocor, rumahnya terputus bekalan air sedangkan terdapat lima orang yang tinggal bersamanya termasuk dua cucunya.

“Usah kata mahu datang membaiki, datang menjenguk pun tidak. Mereka sepatutnya peka dengan isu ini dan membuat tinjauan apabila menerima aduan penduduk,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Norashimah Saidin, 50, berkata, sejak bekalan air terputus, dia terpaksa menagih simpati jiran berdekatan untuk mendapatkan sumber air. Menurutnya, setiap hari, dia dan suami serta anak terpaksa mengangkut air dari rumah jiran dan diletakkan dalam tong di rumahnya.

“Memanglah rumah orang lain ada air, tetapi rumah saya langsung tiada air. Takkan disebabkan itu, mereka tidak mahu membaiki paip ini. Sampai bila kami perlu menunggu?,” katanya.

Perkarangan rumah lecah

LAIN pula masalah dihadapi penduduk yang tinggal berdekatan dengan kawasan paip bocor itu ekoran perkarangan rumah mereka berlecah.

Seorang penduduk, Mazias Mohd Nor, 49, berkata, dia tidak menghadapi masalah bekalan air sebaliknya berdepan dengan masalah lecah yang memenuhi perkarangan rumahnya menyebabkan persekitaran kediaman menjadi kotor.

Berikutan itu, dia terpaksa membuat longkang sementara untuk menyalurkan aliran air itu ke kawasan lain.

“Saya akan mengadakan kenduri pada minggu hadapan, justeru itu, saya terpaksa membina longkang untuk mengalirkan air bertakung. Tanah berlecah ini sudah tentu menggugat keselesaan tetamu yang bertandang ke rumah kami nanti,” katanya.

Keadaan yang sama turut berlaku kepada seorang lagi penduduk iaitu Rozita Yaakob, 47.

Menurutnya, bukan sahaja perkarangan rumahnya berlecah tetapi rumput hidup subur walaupun sudah beberapa kali ditebas.

“Kalau boleh, kita minta pihak berkenaan baiki segera paip bocor kerana selain pembaziran, sakit mata kami melihat perkarangan rumah dipenuhi lecah,” katanya.

Paip perlu lebih bertanggungjawab

PENDUDUK berharap agar Paip lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dengan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini.

Menurut Rustam Hussin, 55, masalah ini memang nampak kecil bagi mereka tetapi amat membelenggu penduduk ekoran berhadapan pelbagai natijah berikutan masalah kebocoran tersebut.

Katanya, Ketua Kampung juga telah membuat aduan mengenai masalah yang sama kepada pihak berkenaan tetapi tiada maklum balas diterima,” katanya.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment