Search This Blog

Monday, July 23, 2012

‘The Joker’ tiru aksi penyerang Norway

James Holmes ikut manifesto serangan Anders Behring Breivik 

AURORA: Pembunuh 12 penonton di sebuah panggung wayang Denver dan menggelar dirinya ‘The Joker’ dilaporkan mengikut nasihat penyerang Norway, Anders Behring Breivik, apabila melakukan serangan ketika tayangan filem Batman: The Dark Knight Rises di sini, Jumaat lalu. James Holmes mengikut manifesto Breivik menyarankan penggunaan raifal, senapang patah, bom asap, senapang AR15 yang mampu melepaskan 100 kali tembakan, senapang Remington dan dua pistol Glock. 
Holmes juga mengikut apa yang disuruh Breivik dengan memakai pelindung leher, badan dan topeng gas mengikut manifesto 1,500 muka surat itu. 

Malah, Holmes, 24, menjadi ahli sebuah laman web dewasa mengikut cadangan Breivik supaya kerap melakukan hubungan seks sebelum serangan. 

Pasang bom di rumah 

Seperti dalam manifesto itu, Holmes memasang letupan untuk meledak jika diganggu dalam pangsapurinya. Wayar dipasang pada bom di kediamannya. 
Anggota polis bagaimanapun berjaya mematikan bom dengan melakukan letupan terkawal di kediaman penyerang. 

Breivik, 33, membunuh 77 orang tahun lalu dengan meletupkan bom kereta di Oslo sebelum melepaskan tembakan terhadap anggota Parti Buruh cawangan belia di Pulau Utoya. 

Pihak berkuasa enggan membincangkan motif serangan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat, ketika saudara-mara mangsa mula berkabung. 

Holmes baru-baru ini menarik diri daripada meneruskan pengajian program ijazah sarjana muda dalam bidang sains saraf di Universiti Colorado-Denver sebagai seorang daripada enam pelajar yang mendapat geran Institut Kesihatan Nasional. 

Dia mengambil bahagian dalam peperiksaan intensif lisan tiga bahagian menandakan tamatnya tahun pertama pengajian program empat tahun, namun pegawai universiti tidak mengatakan jika dia lulus. 

Dalam satu biodata dihantar ke Monster.com, Holmes menyifatkan dirinya sebagai seorang saintis bercita-cita tinggi. 

Biodata itu, kali pertama diperoleh The Press-Enterprise di Riverside, memberi gambaran seorang lelaki muda bijak penuh potensi. - AP/Agensi

No comments:

Post a Comment