Search This Blog

Friday, July 13, 2012

Terpaksa diami rumah terbakar

Terpaksa diami rumah terbakar
Zawiyah bersama dua anaknya di bahagian belakang rumah
 yang masih boleh diduduki
KUALA MUDA – Lapan sekeluarga di Kampung Charuk Kelubi dekat sini terpaksa berteduh di rumah yang hampir musnah dalam kejadian kebakaran kerana rumah sewa yang diduduki kini perlu dipulangkan semula kepada pemiliknya.
Siti Zawiyah Omar, 38, berkata, rumah yang dibina sendiri bersama suami hasil titik peluh menjalankan perniagaan musnah dalam kebakaran pada Jun lalu akibat litar pintas.
Menurutnya, menceritakan kejadian 6 Jun lalu, rumah itu didirikan secara berperingkat sejak 2000 sehinggalah lengkap mempunyai ruang tamu, bilik tidur, dapur dan bilik air.
“Kami bangunkan sedikit demi sedikit sehingga sebelum kejadian pun, suami baru selesai memasang mozek di bahagian hadapan beberapa bulan sebelumnya dan tengah selesaikan kerja-kerja mengecat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ketika kejadian, semua ahli keluarga sibuk membuat persiapan mengadakan majlis perkahwinan adik ipar di rumah ibu mertua (bersebelahan rumahnya) dan tiada sesiapa di rumah ketika itu.
“Anak lelaki berusia 12 tahun yang pulang dari bermain ternampak kepulan asap dari udara lalu memberitahu keluarga.
“Selepas meninjau dalam rumah, barulah tahu rumah kami terbakar,” katanya.
Zawiyah berkata, akibat kebakaran , bilik tidur utama yang dipenuhi dengan pakaian, buku-buku sekolah, tilam dan perkakasan rumah lain musnah termasuk bahagian ruang tamu yang hangus terbakar.
Katanya, walaupun sisa kebakaran belum dibersihkan tetapi dia bersama suami, Muhaidin Hassan, 40, dan lima anak berusia dua hingga 15 tahun menetap semula dalam rumah berkenaan sejak sebulan lalu kecuali seorang anak berusia 13 tahun tinggal di asrama.
"Ini kerana rumah sewa yang diduduki sebelum ini terpaksa dipulangkan kepada pemiliknya.
"Kami sekeluarga masih menunggu janji beberapa pihak bahawa bakal menerima rumah baru atau sebarang bentuk bantuan baik pulih sejurus selepas kejadian," katanya.
Zawiyah dan suami yang menjalankan perniagaan ayam goreng di sebuah sekolah di sini berkata, mereka terpaksa menggunakan semula ruang dapur, bilik air dan baki ruang yang tinggal sementara bahagian lainnya hangus terbakar.
Sebarang maklumat atau bantuan boleh menghubungi Zawiyah di talian 013-4163941 atau 018-4746011 

No comments:

Post a Comment