Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Terkejut jumpa rangka motosikal

Terkejut jumpa rangka motosikal - Utara - Sinar Harian:


Samsuri (kiri) dan anaknya, Muhammad Syabil Harith, 10, melihat rangka motosikal yang ditemui.
Samsuri (kiri) dan anaknya, Muhammad Syabil Harith, 10, melihat rangka motosikal yang ditemui.


BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke pasar bersama anaknya menemui rangka motosikal dibuang di dalam sebuah takungan air berhampiran jalan pintas ke Kampung Besar, di sini, semalam.

Samsuri Sulaiman, 35, berkata, rangka berkenaan dipercayai masih baru berikutan awal pagi sebelumnya, dia terlihat kelibat empat lelaki berada di kawasan berkenaan ketika pulang dari kerja, kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, pada masa itu, dia tidak mengesyaki apa-apa dan menyangka mereka datang untuk memancing ikan haruan kerana kawasan sawah padi berhampiran merupakan tempat popular memancing ikan berkenaan.

Bagaimanapun, dia yang mahukan kepastian terkejut menemui rangka motosikal itu pagi semalam ketika melalui kawasan terbabit sekitar jam 9.30 pagi.

“Saya memang melalui jalan ini setiap hari untuk menghantar anak ke sekolah tetapi tidak pernah melihat rangka motosikal ini di sini, sehinggalah pagi tadi. Dahulunya, takungan air ini menjadi tempat lori membersihkan tayar namun selepas projek pembinaan berhampiran siap, ia ditinggalkan begitu sahaja.

“Saya percaya rangka ini ditinggalkan kumpulan lelaki berkenaan yang berusia sekitar 20-an berdasarkan susuk tubuh mereka. Berkemungkinan mereka mencurinya di tempat lain dan datang ke sini untuk mengeluarkan bahagian-bahagian yang boleh digunakan. Kemudian, rangkanya ditinggalkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsuri berkata, sebelum ini, kawasan tali air dekat Kampung Besar merupakan tempat kumpulan curi motosikal membuang rangka dan kini lokasi berkenaan pula dijadikan port baru mereka.

Katanya, dia menasihati penduduk setempat supaya berhati-hati dengan situasi itu dan sentiasa menjaga keselamatan harta benda masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Pada masa sama, saya meminta kerjasama polis untuk memantau kawasan berkenaan kerana ia sunyi pada waktu malam," katanya.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment