Suspek ragut kerani berjaya diberkas
Gunarajan (kanan) menunjukkan hasil rampasan.
BUKIT BERUANG – Polis berjaya memberkas empat suspek yang meragut seorang kerani sehingga menyebabkan mangsa terbunuh pada kejadian Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan R Gunarajan berkata, suspek semuanya lelaki berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Menurutnya, tangkapan itu hasil dua serbuan pada jam 1.30 petang di sebuah inap desa di Merlimau yang berjaya menahan seorang suspek dan tiga lagi ditahan di inap desa di Semabok, jam 7 petang kelmarin.

“Dipercayai mereka tinggal di inap desa untuk mengaburi penduduk sekitar supaya kegiatan pecah rumah dan ragut yang dilakukan tidak terbongkar.

“Dalam serbuan berkenaan, kita juga berjaya merampas tiga komputer riba, lapan telefon bimbit, barangan elektronik, beg duit, wang asing, jaket, topi keledar dan pisau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini.

Gunarajan berkata, dipercayai seorang suspek berusia 17 tahun yang menjadi pembonceng meragut mangsa sehingga menyebabkan wanita terbabit cedera parah dan meninggal dunia.

"Tangkapan ini sekali gus berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan ragut sekitar Melaka sejak tahun lalu.

"Dipercayai suspek melakukan kegiatan itu untuk mencari wang membeli dadah berikutan mereka positif dadah jenis metamphetamine dalam ujian urin," katanya.