Suami isteri penyamun aksesori Kancil
Osman (kiri) melihat aksesori Perodua Kancil yang berjaya ditemui semula.
SEREMBAN – Sepasang suami isteri sanggup membawa bersama seorang kanak-kanak ketika menjalankan kegiatan curi kereta di daerah ini sejak April lalu.

Mereka berbuat demikian dipercayai untuk mengaburi mata orang ramai agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya dihidu polis sehingga membawa kepada penangkapan dua  lelaki serta 12 kenderaan dipercayai dicuri.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, modus operandi suspek adalah mencuri kereta jenis Perodua Kancil yang sudah diubahsuai, mengambil aksesori dalam kenderaan berkenaan, sebelum meninggalkannya di lokasi lain.

“Sasaran suspek adalah Perodua Kancil yang telah diubah suai kerana aksesori digunakan agak lumayan untuk dijual di pasaran.

“Selepas selesai mengambil barangan aksesori ini, kereta ini akan ditinggalkan di tepi jalan dan antara lokasi yang kita jumpa kenderaan ini ialah di sebuah pasaraya Giant, Jalan Pekan Tampin, Bandar Baru Nilai dan Batu Berendam, Melaka,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek di pekan Kajang, Selangor sebelum menahan seorang rakan mereka di Melaka dipercayai rakan kongsi dalam kegiatan itu.

Berikutan penahanan itu, katanya. sebanyak 11 Perodua Kancil serta sebuah Honda Stream ditemui semula dan sebahagian besarnya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Manakala, katanya, beberapa aksesori dijumpai semula termasuk lima komputer riba, rangka motosikal dan kamera.

Menurutnya, barangan dijumpai itu melibatkan lima kes di Negeri Sembilan, selain Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing dua di Selangor dan Melaka.

“Sebelum ini polis menerima lima kes laporan kehilangan Perodua Kancil di daerah ini. Dari maklumat itu kita membuat siasatan agresif terhadap kemungkinan wujudnya satu kumpulan mencuri kereta jenis Perodua Kancil.

“Pada masa sama, kita menerima maklumat daripada seorang lelaki yang baru kehilangan Perodua Kancil di Seremban ternampak keretanya dibawa lari satu pasangan dengan membawa seorang kanak-kanak,” katanya pada sidang media di Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.

Osman berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan berumur 20an dan 30an itu berasal dari Melaka.

Menurutnya, polis kini mencari isteri suspek yang beralamat terakhir di Linggi bagi membantu siasatan.

Hadir sama pada sidang media berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid.