Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

Ribut di Amerika Syarikat, ratusan penerbangan dibatal



Kabel dan tiang elektrik tumbang akibat ditimpa pokok tumbang di Elmira, New York, dalam beberapa siri ribut petir yang melanda bahagian tengah dan barat laut Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS
OHIO 27 Julai - Beberapa siri ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang melanda sebahagian kawasan tengah dan barat laut Amerika Syarikat (AS) semalam, menyebabkan beratus-ratus penerbangan dibatalkan dan beribu-ribu penduduk terputus bekalan elektrik.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, ribut petir itu turut membawa puting beliung di Elmira, New York yang memusnahkan sebuah pusat membeli-belah dan kelab country tempatan.
Agensi meteorologi pula menyatakan bahawa angin kencang berkelajuan 113 kilometer sejam dilaporkan melanda Ohio, Kentucky, Pennsylvania dan Oklahoma.
Lebih 51,000 penduduk di sini pula terputus bekalan elektrik dan seramai 93,700 penduduk di New York dan lebih 10,000 di New Jersey turut menerima nasib yang sama.
Menurut Wheather Channel, siri ribut tersebut terbentuk di bahagian barat laut AS, bergerak ke Lembah Ohio dan berisiko mencetuskan angin kencang serta puting beliung.
Keadaan cuaca yang buruk turut menjejaskan lebih 900 penerbangan, sekali gus mencatatkan jumlah pembatalan penerbangan tertinggi di Lapangan Terbang LaGuardia di New York.
Beberapa penerbangan di Baltimore, Boston, Chicago, New York City, Philadelphia dan Washington juga terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca buruk, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan menerusi laman webnya.
Sementara itu, perkhidmatan kereta api Metro North di Chappaqua, New York tergendala ekoran pokok-pokok tumbang di atas landasan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment