Search This Blog

Thursday, July 5, 2012

Pura-pura serah diri sebelum rampas pistol


myMetro | Pura-pura serah diri sebelum rampas pistol:


SUBANG JAYA: Seorang lelaki yang berpura-pura mahu menyerah diri selepas dikepung dua anggota polis bertindak agresif dengan merampas pistol milik seorang daripada anggota terbabit sebelum mencederakannya di kepala sehingga menerima lima jahitan dalam satu kejadian di PJS 11, Bandar Sunway, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.05 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit turut melepaskan satu das tembakan selepas merampas pistol milik anggota polis terbabit sebelum dijadikan sebagai perisai bagi mengelak ditahan seorang lagi anggota yang berada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek berjaya ditahan selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Katanya, dalam kejadian itu, polis menerima panggilan orang awam memaklumkan terdengar bunyi bising di depan rumah dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati sebuah kereta Toyota Camry dipecahkan cerminnya.

“Ketika anggota sedang memeriksa kenderaan berkenaan, seorang lelaki tiba-tiba muncul dari bahagian depan kenderaan itu dan mengangkat kedua belah tangan seolah-olah mahu menyerah diri.

“Bagaimanapun sebaik didekati, suspek terus meluru ke arahnya dan cuba merampas pistol yang berada di pinggang mangsa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Yahaya berkata, suspek sempat merampas pistol berkenaan sebelum melepaskan satu das tembakan dan pada masa sama menarik mangsa untuk dijadikan tebusan kerana seorang lagi anggota turut bertindak mengacukan pistol ke arahnya.

“Suspek kemudian menghentak kepala mangsa dengan menggunakan pistol jenis Walter P99 yang dirampasnya itu sambil mengarahkan rakan mangsa beredar.

“Namun begitu, suspek terjatuh dan berjaya diberkas kedua-dua anggota terbabit,” katanya.

Menurutnya, anggota yang cedera itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum menerima lima jahitan di kepalanya.

No comments:

Post a Comment