Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Polis tahan 35 GRO

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun antara 35 pelayan pelanggan (GRO) muda yang ditahan polis dalam serbuan berasingan di dua pusat hiburan di Jalan Pudu, di sini, Selasa dan Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan 10 anggota cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bersama dua pegawai diketuai Inspektor Zaili Zakaria.

“Kami menahan 35 individu dalam dua serbuan berkenaan dan memang mengejutkan kerana gadis bawah umur dibenarkan bekerja di situ.
“Kebanyakan wanita yang ditahan berasal dari Vietnam, China, Thailand, serta empat lelaki tempatan dan mereka ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Semua mereka dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis masih mengumpul maklumat daripada semua yang ditahan selain mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi membolehkan pihaknya mengekang kegiatan jenayah serta membanteras pusat hiburan yang sering melanggar syarat ditetapkan.
“Hanya itu yang dapat saya katakan dan operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, kebanyakan GRO berkenaan disediakan pusat hiburan terbabit bagi melayan lelaki hidung belang yang gemarkan wanita muda, menyebabkan ada penjaga (mummy) sanggup mengambil remaja bawah umur.
Sementara itu, Zaili yang ditemui ketika serbuan berkata, operasi dilakukan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi syarat lesen dengan tidak membenarkan remaja bawah umur mengunjungi premis itu.

Metro Ahad minggu lalu melaporkan, sekumpulan remaja, majoritinya masih di bawah umur, membentuk satu forum sosial lebih 3,500 ahli di facebook dan twitter semata-mata untuk bergabung menyertai beberapa siri pesta liar.

Kumpulan lelaki, perempuan, pondan dan lelaki lembut itu menggunakan laman sosial terbabit untuk berinteraksi bagi menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan mereka yang dinamakan ‘parti lolipop’ dan diadakan di beberapa pusat hiburan.

No comments:

Post a Comment