JOHOR BAHRU - Polis mencari pasangan warga asing yang dipercayai melanggar perintah mahkamah dalam kes tuntutan hak penjagaan seorang kanak-kanak perempuan di sini.

Divina Bangi Indong, seorang warga Filipina dan pasangannya Colin Leslie Gibbons, warga British, melarikan Princes Teo Mie Qi, 5, sejak 25 Mei lepas daripada penjaganya yang sah, Teo Lee Pin, 46.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata Lee Pin, seorang pemandu lori, merupakan ayah angkat Mie Qi manakala Indong adalah ibu kandung kanak-kanak perempuan itu.

Lee Pin, yang berkahwin dengan kakak Indong pada 1996, tidak mempunyai anak dan mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat pada 2007.

Bagaimanapun, ekoran kematian isterinya pada 21 Oktober 2010, tuntutan hak penjagaan anak itu berlaku antara Lee Pin dan adik iparnya, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Kes masih dalam perbicaraan mahkamah. Buat masa ini mahkamah telah memerintahkan hak penjagaan bersama sehingga keputusan muktamad dibuat dan membenarkan adik ipar pengadu menjaga anak tersebut pada hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Zulkefly berkata pada 25 Mei lepas, pengadu membenarkan adik iparnya bersama teman lelaki mengambil Mie Qi untuk tujuan berjalan–jalan namun sehingga ke hari ini anak tersebut tidak dikembalikan kepadanya.

Beliau berkata tindakan Indong adalah salah kerana melanggar perintah mahkamah dan menasihatinya supaya akur kepada perintah mahkamah dan mengembalikan anak tersebut serta menunggu keputusan muktamad mahkamah.

Katanya Lee Pin membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada penjaga yang sah.

Indong memegang pasport bernombor EB1609106 @ UU0663353 manakala Gibbons 305413540 dan Mie Qie memegang MyKid bernombor 071129-01-0372.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Nik Azmi di talian 012-7384062 atau Insp Nor Zuliana di talian 012-3175303. - Bernama