K Manoharan
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU - Polis telah mengenalpasti individu yang disyaki terlibat dalam kes bunuh rakyat Indonesia yang mayatnya ditemui dalam parit di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tapah, Setiu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata polis menemui beberapa petunjuk berkaitan suspek utama itu yang dipercayai rakyat tempatan.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan itu disebabkan cemburu membabitkan wanita.

"Gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan namun kami memerlukan bantuan daripada orang kampung sekitar bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes itu.

"Kami percaya penduduk di sekitar kampung berkenaan mengetahui serba sedikit mengenai mangsa yang bekerja di ladang itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Dalam kejadian semalam, mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Heri, 33, yang telah berulat ditemui dalam parit dengan beberapa kesan tetakan di kepala, dahi, kaki dan tapak tangan.

Manoharan berkata lelaki itu telah beberapa tahun bekerja di ladang kelapa sawit di Setiu. - Bernama