Search This Blog

Thursday, July 5, 2012

Pesakit jantung ke tali gantung

myMetro | Pesakit jantung ke tali gantung:


ALOR SETAR: Seorang wanita warga Thailand yang menghidap penyakit jantung berlubang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah mengedar 18,630 gram dadah jenis kanabis dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Natcha Babkaew, 32.

Mengikut fakta kes, Natcha yang bekerja sebagai penjaja makanan ringan di negaranya didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 18,630 gram di lorong 2, bahagian kenderaan, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam, kira-kira jam 1.35 petang, 19 November 2010.

Tertuduh yang mempunyai seorang anak berusia lapan tahun didakwa mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki berkata, keterangan pembelaan Natcha yang mengatakan dia tidak mengetahui beg dibawa berisi dadah tidak boleh dipercayai kerana tertuduh ditawarkan upah tinggi untuk membawa beg berkenaan.

"Secara umumnya tertuduh tidak menafikan dia membawa dua beg itu dari Bangkok, Thailand, yang diterima daripada dua lelaki Afrika untuk diserahkan kepada seorang lagi lelaki Afrika di pekan Changlun.

"Dalam pembelaannya, tertuduh beritahu dia dibayar RM2,000 oleh dua lelaki Afrika. Keterangan tertuduh bahawa dia tidak tahu kandungan beg itu, hanya diada-adakan bagi melepaskan diri. Justeru, tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah semasa pembelaannya.

"Pendakwaan juga berjaya membuktikan bahawa tertuduh melakukan pengedaran dadah berdasarkan dia menaiki teksi dari sempadan Thailand dan masuk ke Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam," katanya.

Natcha kelihatan tenang sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Radzi Shah Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam, Ai Cha Ran.

No comments:

Post a Comment