Search This Blog

Thursday, July 5, 2012

Penyamun potong barang kemas dipakai

myMetro | Penyamun potong barang kemas dipakai:
PADANG BESAR: “Saya hanya mampu menangis dan mengucap apabila mulut, kaki serta tangan diikat dengan kasar sebelum mereka memotong barang kemas dipakai,” kata Gayah Jusoh, 73, yang diserang dua lelaki di rumahnya sebelum melarikan barang kemas miliknya bernilai RM2,500, di Kampung Alor Tampang, Beseri, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Gayah hanya dibantu jirannya selepas lebih lima jam menggelupur dan menjerit meminta tolong apabila tidak dapat bergerak kerana tangan dan kakinya diikat kuat.

Gayah berkata, ketika kejadian awal pagi kelmarin, dia tidur di ruang tamu rumahnya di Kampung Alor Tampang, Beseri, di sini, apabila dua lelaki memecah masuk melalui pintu dapur dan menekap mulutnya dengan kain.

“Mereka mengikat mata, kaki serta tangan saya menggunakan tali dan baju.

“Saya menjerit meminta mereka melepaskan saya namun tidak diendahkan,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, selepas mengikatnya, dua lelaki itu membuka tiga utas rantai tangan serta memotong rantai leher dipakainya menggunakan ragum.

Mereka juga cuba membuka cincin emas dipakainya, namun gagal kerana terlalu ketat sebelum mereka melarikan diri melalui pintu belakang.

“Saya hanya membuka ikatan di mulut selepas lima jam meronta sebelum menjerit meminta pertolongan,” katanya.

Gayah yang mempunyai empat anak berkata, jeritannya didengari jiran dan mereka memecahkan pintu depan rumahnya bagi membantunya.

Wanita itu cedera pergelangan tangan dan kaki akibat diikat dua penjenayah berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama suami tetapi pada hari kejadian, suaminya ke rumah anak mereka di Arau kerana mendapatkan rawatan sakit jantung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros mengesahkan menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Beseri dan menggerakkan usaha memburu dua suspek terbabit.

Menurutnya, sehingga semalam, pihaknya menahan seorang lelaki dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 30-an berkenaan direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

No comments:

Post a Comment