Search This Blog

Friday, July 13, 2012

Penyamun kelar 2 pelanggan pusat Internet

KUALA LUMPUR: Keseronokan bermain permainan video di pusat Internet bertukar malang buat dua lelaki apabila cedera di perut dan dada selepas premis berkenaan di Jalan Paoh Loke Yew, di sini disamun tiga lelaki bersenjata pedang samurai dan alat renjatan elektrik, kelmarin.
Ketika kejadian jam 2.15 petang itu, penjaga premis bersama empat pelanggan lelaki berada dalam premis berkenaan.

Sumber polis berkata, tiba-tiba muncul tiga lelaki memasuki premis berkenaan dengan membawa pedang samurai dan alat renjatan elektrik sebelum mendekati penjaga premis berusia 20-an itu.
Menurutnya, seorang lelaki meletakkan pedang di leher penjaga premis berkenaan sebelum mengambil wang lebih RM2,000 dalam mesin daftar juruwang.

“Mereka turut menyamun dua pelanggan berusia 20-an yang sedang bermain komputer dengan merampas wang tunai serta telefon bimbit milik mereka.

“Dua pelanggan yang mendakwa tidak memiliki wang pula dikelar suspek dengan pedang di perut dan dada,” katanya.
Sebaik merampas semua barangan mangsa, ketiga-tiga lelaki berkenaan melarikan diri manakala kedua-dua pelanggan yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment