Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Penganggur curi duit masjid RM5 dihukum penjara sebulan

Penganggur curi duit masjid RM5 dihukum penjara sebulan:

PETALING JAYA 10 Julai - Gara-gara mencuri duit tabung masjid sebanyak RM5 dengan alasan untuk dijadikan modal mencari pekerjaan lain, seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama sebulan.
Majistret Surya Wati Shawal menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaimi Ibrahim, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.
Surya Wati memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh Suhaimi ditangkap pada 7 Julai lalu.
Dia didakwa mencuri lima keping wang kertas RM1 daripada tabung milik Masjid Abu Bakar As Siddiq yang beralamat Jalan SS 19/7 Subang Jaya di sini, pada pukul 2.45 pagi, 7 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Suhaimi yang tidak diwakili oleh peguam menyatakan dia insaf serta bertaubat atas perbuatannya dan memohon dikenakan hukuman ringan.
Ketika disoal oleh majistret alasan dia mencuri, Suhaimi menyatakan dia mencuri kerana buntu memikirkan cara mendapatkan wang untuk dijadikan modal mencari pekerjaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aifaa Che Abdullah memaklumkan kepada mahkamah, Suhaimi mempunyai rekod jenayah yang sama sebelum ini dan telah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam pada 2004.
Mengikut fakta kes, pengadu, Jamal Mohamed yang merupakan penjaga masjid berasa curiga apabila melihat tertuduh berlegar-legar di kawasan masjid.
Dia terus memerhatikan tertuduh yang kemudiannya mengorek tabung di dalam masjid menggunakan dawai yang ditampalkan dengan gula-gula getah di hujungnya.
Selepas Jamal yang dibantu oleh penduduk taman di situ berjaya menangkap tertuduh, mereka menemui lima keping wang RM1 di dalam poket seluar Suhaimi sebelum lelaki itu dihantar ke balai polis berhampiran.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment