Pelajar ditampar kini trauma untuk pulang ke asrama
Gambar menunjukkan keadaan gegendang telinga kanan Muhamad Hazim yang pecah.
ALOR SETAR - Perasaan takut dan trauma masih membelenggu pelajar tingkatan satu yang didakwa dibuli pelajar senior sebuah sekolah di pusat bandar ini.

Muhamad Hazim Muhamad Zaid, 13, mendakwa dibuli pelajar senior disebabkan tidak menegangkan cadar sehingga menyebabkan gegendang telinga kanannya pecah.

Ibu pelajar terbabit, Nor Hapizah Puteh, 39, berkata, telinga kanan anak kedua daripada tiga beradik itu masih terasa sakit walaupun rawatan sudah dilakukan.

“Dia (Mohamad Hazim) ada mengadu sakit di bahagian telinga yang dirawat terutama sewaktu dia mengunyah atau gigit makanan.

“Namun, saya bersyukur kerana keadaan telinganya tidak berair atau bernanah yang boleh memberi kesan kepada telinganya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian 10 Julai lalu menyiarkan Nor Hapizah yang terkilan dengan kejadian terbabit kerana anak yang dilahirkan perempuan kini terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan orang lain.

Mohamad Hazim mendakwa sekumpulan pelajar yang memanggil dia bersama kira-kira 80 pelajar lain dikejutkan dari tidur kira-kira jam 2.15 pagi untuk berbaris dan mengaku sekiranya melakukan kesalahan.

Dia mendakwa yang tampil ke depan kerana melakukan kesalahan dijentik sebanyak dua kali di dahi dan ditampar di pipi kanan.

Nor Hapizah berkata, Mohamad Hazim yang sepatutnya pergi semula ke sekolah kelmarin tidak dapat berbuat demikian kerana belum sembuh sepenuhnya.

“Dia mungkin akan ke sekolah semula minggu depan kerana saya mahu pastikan dia betul-betul sihat sebelum pulang ke asrama.

“Mohamad Hazim ada juga memaklumkan kepada saya yang dia masih trauma dan takut untuk pulang ke asrama dan saya sentiasa memberikan dia semangat semula,” katanya.

Selain itu, Nor Hapizah berkata, mereka juga sudah berjumpa dengan pihak sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah dan polis berhubung kes berkenaan.