Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Pelajar dikhuatiri lemas

AMPANG: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang besar di Taman Putra, Pandan Mewah, di sini, jam 6.30 petang kelmarin.
Seorang lelaki dikatakan melihat remaja terbabit yang masih lengkap berpakaian sekolah cuba melangkah longkang besar di sebuah kedai sebelum dilihat terjatuh.

Berikutan itu, saksi terbabit memberitahu seorang wanita yang berada berhampiran sebelum mereka menghubungi polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Pandan Indah, Mazlan Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan 6.44 petang.

“Satu jentera bergegas ke tempat kejadian bagi mengesan dan menyelamat mangsa. Ketika kejadian, hujan lebat dan air deras. Kami khuatir mangsa dihanyutkan air longkang ke sungai.

“Kami turut menerima bantuan satu jentera bomba dan penyelamat sukarela Taman Dagang serta bomba Jalan Jelatek dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM),” katanya di lokasi kejadian. Jelasnya, operasi dijalankan di beberapa lokasi, bermula di tempat kejadian sehingga ke Sungai Besi, tempat perangkap sampah dipasang, bagi mengesan mangsa.
Mazlan berkata, operasi menyelamat dihentikan jam 12 tengah malam kelmarin dan disambung semula 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, sehingga 12 tengah malam, pihaknya belum menerima laporan kehilangan anak mana-mana keluarga.

No comments:

Post a Comment