Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

Pegawai polis nyaris ditikam penjenayah



28 Julai 2012
KUALA TERENGGANU - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor nyaris ditikam seorang penjenayah yang bertindak agresif ketika sepasukan polis menyerbu kediamannya di Kampung Nibung, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian pada 11.10 pagi itu, sepasukan polis dari cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu menyerbu rumah suspek yang dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di sekitar negeri ini.

Beliau berkata ketika pegawai berkenaan memasuki sebuah bilik, suspek cuba menikam mangsa namun berjaya dielak dan lelaki berusia 41 tahun itu kemudian lari ke belakang rumah yang telah dikepung.

"Ketika hendak melakukan penahanan, mangsa sekali lagi bertindak ganas dengan mengugut anggota dan pegawai sambil mengacukan pisau. Akibat sikap agresif itu, anggota polis telah melepaskan dua tembakan dan satu tembakan itu terkena pada betis kiri suspek," katanya kepada pemberita hari ini.

Manoharan berkata walaupun cedera, suspek masih bertindak ganas dan hanya dapat dikawal selepas digari.

Polis merampas pisau berhulu kayu sepanjang lapan inci yang digunakan suspek selain menemui sebuah motosikal curi yang disorok dalam stor rumahnya.

Manoharan juga berkata sebelum ini, polis menyerbu rumah suspek Rabu lepas pada kira-kira 4 pagi, namun gagal menahannya.

Hasil siasatan mendapati suspek yang masih bujang mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah, curi kenderaan, memiliki senjata, mendatangkan kecederaan serta menggunakan kekerasan kepada penjawat awam.

Suspek kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan ditahan reman sehingga Selasa ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,
Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan Seksyen 379 kerana mencuri kenderaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment