Pasar Borong diserbu
Antara warga asing yang dipercayai penagih dadah ditahan dalam operasi, semalam
KUALA LUMPUR - Polis menahan 26 orang, disyaki penagih dan pengedar dadah, dalam operasi narkotik 'Ops Tapis Khas' bagi membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadikan Pasar Borong Selayang sebagai kawasan 'panas' bagi daerah Sentul.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 6 pagi itu termasuk warga Thailand dan Myanmar, serta seorang perempuan, berumur antara 28 dan 40 tahun.

Difahamkan pengedar dadah menjadikan lokasi itu sebagai 'port' cari pelanggan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul Deputi Superintenden Mohamed Fadzil Rahman berkata, pengedar kecil terbabit mendapat bekalan dadah dari utara semenanjung sebelum mengedar secara kecil-kecilan di pasar borong berkenaan.

"Polis turut melakukan pemantauan di pasar berkenaan bagi mengesan kegiatan pengedaran dadah dan mengenal pasti pengedar kecil di sini," katanya.
Hasil pemeriksaan, kebanyakan mereka didapati menggunakan dadah jenis syabu dan heroin.

"Tangkapan dadah di lokasi sama sehingga Julai meningkat sebanyak 22.1 peratus kepada 731 orang berbanding 569 dalam tempoh sama tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Operasi dengan kerjasama Balai Polis Jinjang itu melibatkan 30 anggota dan empat pegawai berakhir pada jam 11 pagi.