Keadaan Proton Waja yang remuk selepas bertembung dengan Proton Gen2 di persimpangan Taman SPPK, Seg
Keadaan Proton Waja yang remuk selepas bertembung dengan Proton Gen2 di persimpangan Taman SPPK, Segambut, malam kelmarin. Gambar kecil: Dua suspek yang cedera diberi rawatan se
KUALA LUMPUR – Tindakan pantas seorang pemandu membuat laporan polis selepas dipintas sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan, malam kelmarin, membantu pihak berkuasa mengesan kenderaan terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, mangsa terus memandu Perodua Myvi ke balai polis berhampiran di Rawang, selepas menyedari kereta Proton Waja yang dinaiki lima lelaki  berumur 18 hingga 23 tahun bertindak mencurigakan.

Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, polis berjaya mengesan suspek di Jalan Templer Rawang kira-kira jam 4 pagi, tetapi suspek memecut kenderaan selepas tidak mengendahkan arahan polis supaya berhenti.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah berkata, kenderaan yang dinaiki suspek terbabit dalam kemalangan apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Gen2 yang dinaiki empat wanita warga Thailand di persimpangan Taman SPPK, Segambut.

“Semua lima suspek dan empat wanita cedera parah dan dibawa ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

“Dua daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kita akan siasat penglibatan mereka dalam kes samun kenderaan.

“Siasatan awal mendapati Proton Waja yang digunakan suspek adalah kenderaan yang dilaporkan hilang di Desa Jaya, pada 26 Julai lalu,” katanya, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis turut menemui lima bilah parang dalam kereta Proton Waja tersebut.