Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Niat murni bertukar tragedi

Niat murni bertukar tragedi - Semasa - Sinar Harian:

Niat murni bertukar tragedi
Anggota polis dibantu orang ramai mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. (Gambar kecil : Dari kiri, MERE MINNA. DURAISWAMI, dan KUGEN)
Niat murni bertukar tragedi
Ilustrasi kejadian
TAMPIN - Niat murni seorang lelaki mahu membantu seorang warga emas yang ditemui berdiri di tepi jalan bertukar tragedi, apabila dia bersama isteri dan anaknya maut dirempuh sebuah lori, malam kelmarin.

Turut maut, warga emas terbabit yang juga dirempuh lori sama membawa muatan roti.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam di Kilometer 4 Jalan Tampin-Gemas, di sini, apabila H Duraiswami, 34, bersama isteri, A Mere Minna, 37, dan anaknya, D Kugen, 2, dalam perjalanan pulang dari pekan Tampin ke rumah di Taman Repah Baru, di sini dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

Ketika di tempat kejadian, mangsa dikatakan terserempak dengan seorang warga emas berusia sekitar 60-an di tepi jalan di sebuah jambatan.

Pada mulanya, tiga beranak itu meneruskan perjalanan mereka, namun dikatakan berpatah balik beberapa meter untuk bertanya warga emas berkenaan.

Musykil lihat lelaki di tepi jalan waktu malam 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai berbuat demikian kerana musykil melihat warga emas terbabit berada di tepi jalan pada waktu malam dan berniat untuk bertanya.

"Bagaimanapun, sebaik saja dia selesai bertanya dan mahu meneruskan perjalanan semula, sebuah lori dari arah depan merempuh motosikal mangsa," katanya.

Menurutnya, motosikal mangsa tercampak kira-kira tujuh meter, lalu mengenai warga emas terbabit.

"Pada mulanya, pemandu lori berusia 30-an itu cuba memberi bantuan awal, namun bertindak meninggalkan lokasi dan membuat laporan di Balai Polis Tampin selepas mendapati orang ramai mengerumuni kawasan berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Cari waris warga emas 

Menurut Kooi Cheang, Duraiswami disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban kira-kira 9 malam, sementara isteri dan anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Warga emas berkenaan pula maut kira-kira 12 tengah malam tadi (semalam) di Hospital Tampin, dekat sini," katanya,

Beliau berkata, setakat ini polis sedang mencari waris warga emas berkenaan yang tidak mempunyai sebarang rekod pengenalan diri.

"Warga emas itu juga dikatakan sering kelihatan berjalan kaki dari Gemencheh ke pekan Tampin dengan berseluar pendek," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat tiga beranak berkenaan akan disemadikan di tempat pembakaran mayat di Bukit Jelutong, Melaka, petang ini.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment