Search This Blog

Friday, July 13, 2012

Mesej hina Sultan: Polis siasat SU Media SMM

SHAH ALAM - Polis menyoal siasat Setiausaha Media Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Kamarudin hampir enam jam hari ini berhubung pandangannya, yang didakwa telah menghina Sultan Johor baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu malam ini, Ahmad Shukri berkata, seramai lapan hingga 10 anggota polis dari Johor mengambil keterangan mulai jam 10.30 pagi tadi.

"Seramai lapan hingga 10 orang anggota polis datang ke pejabat saya (di Kuala Lumpur) untuk ambil kenyataan berhubung isu saya menghina Sultan Johor di Twitter setelah mereka menerima laporan polis daripada PPPMM. "Mereka membawa waran geledah dan telah merampas telefon bimbit saya," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, beliau dimaklumkan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Katanya, pihak polis juga telah merampas telefon bimbitnya.

Katanya, selepas mengambil keterangan daripadanya di tempat kerja, polis turut menggeledah rumahnya di Cheras.

"Selepas tidak menemui apa-apa, polis menghantar semula saya ke tempat kerja. Saya memberitahu polis bahawa saya akan menjawab segala soalan di mahkamah (jika didakwa)," katanya.

Kelmarin, Ahmad Shukri mengaku beliau ada membuat pandangan menyentuh Sultan Johor menerusi laman sosial Facebook dan Twitter seperti didakwa Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), yang telah membuat laporan polis 8 Julai lalu.

Sebaliknya tegas beliau, perbuatannya itu tidak bersalah dan rakyat mempunyai hak untuk memberi pandangan mengenai aspek itu.

Dalam kenyataan media Ahad lalu, Presiden PPPMM A. Rahman berkata, persatuan itu meminta polis menyiasat secara terperinci dan dengan dan dengan kadar segera berhubung kenyataan yang dibuat menerusi dua akaun laman sosial milik Ahmad Shukri tersebut.

No comments:

Post a Comment