GEORGE TOWN - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pulau Pinang merampas mentol lampu kereta tiruan bernilai RM100,000 dalam serbuan di premis menjual aksesori kereta di Taman Bunga Raya, Bukit Mertajam semalam.

Ketua Penguat Kuasa negeri Guna Selan Marian berkata dalam serbuan 11 pagi itu pihaknya turut menahan pengurus premis berusia 48 tahun.

"Kita bertindak selepas menerima aduan daripada wakil cap dagang Phillips dan hasil risikan selama sebulan mendapati produk ini sudah berada di pasaran setahun lebih," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya mentol tiruan itu dijual pada harga antara RM18 dan RM20 seunit berbanding produk tulen RM35.

Beliau berkata pihaknya juga percaya produk itu yang dibawa masuk dari negara luar turut dipasarkan di negeri lain di Semenanjung.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap unit barangan, jika sabit kesalahan.- Bernama