Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Menangis lihat suami tersepit

myMetroMenangis lihat suami tersepit:

MARANG: “Saya hanya mampu menangis melihat suami tersepit dan mengerang kesakitan,” kata Normah Abd Razak, 49, isteri kepada Mohd Hamzah Ismail, 51, yang tersepit selepas lori dipandunya dirempuh sebuah lori lain di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Pulau Kerengga, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi, Mohd Hamzah parah di kaki kiri akibat tersepit di dalam lori dipandunya yang remuk dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan selepas dirempuh lori lain.

Kemalangan berlaku ketika Mohd Hamzah yang baru mengambil bekalan buah tembikai dari sebuah kebun di Kampung Serating, di sini, tiba di gerai menjual buah-buahan milik Normah di tempat kejadian.
Sebaik menghampiri gerai, Mohd Hamzah yang juga bapa kepada enam anak memberi lampu isyarat untuk berhenti di sebelah kiri jalan sebelum kenderaannya dirempuh lori dari belakang.

Rempuhan turut menyebabkan kebanyakan tembikai dan satu botol besar mengandungi minyak diesel yang berada dalam lori dipandu Mohd Hamzah tercampak keluar dan bertaburan di atas jalan raya.

Normah berkata, ketika kejadian, dia melayan beberapa pelanggan bersama dua anak dan seorang cucunya.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas, menyebabkan dia panik sebelum segera menghampiri suami bagi melihat keadaannya.

“Saya menangis tapi tak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya kerana dia tersepit. Saya hanya mampu berdoa supaya suami selamat selain memintanya bertenang.
“Malah, usaha orang ramai mengeluarkannya juga gagal kerana keadaan lori yang remuk menyukarkan dia dibawa keluar dari kenderaannya.

“Bagaimanapun, suami dikeluarkan 30 minit kemudian dengan bantuan bomba yang tiba tidak lama selepas itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang dihubungi mengesahkan, pihaknya menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment