Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Mayat mangsa serangan buaya ditemui

Mayat mangsa serangan buaya ditemui:







Beberapa anggota penyelamat mengeluarkan mayat Derahman Chali yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Saribas, semalam.



BETONG 7 Julai - Mayat pemotong batang sagu, Derahman Chali yang hilang dipercayai dibaham buaya di Sungai Saribas, Khamis lalu ditemui dalam keadaan menyayat hati pagi ini.


Mayat Derahman, 55, ditemui seorang penduduk kampung di tebing sungai Kampung Medang, Spaoh kira-kira pukul 7 pagi, 20 kilometer dari tempat kejadian.


Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Sarifuddin Mustafa berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan kepala, tangan kanan dan kedua-dua belah kaki hampir putus.


Selain itu, katanya, keadaan perut mangsa juga terburai akibat serangan reptilia itu, manakala tangan kiri, leher dan separuh daripada badannya belum ditemui.


"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat. Ahli keluarganya pula sudah dipanggil untuk melakukan pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah Derahman.


"Berikutan penemuan mayat itu, polis telah menghentikan operasi mencari di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.


Sementara itu, anak sulung mangsa, Norasiah Derahman, 24, berkata, sungai yang selama ini menjadi punca pendapatan keluarga bertukar menjadi 'musuh' kepada mereka.


Katanya, keluarga mereka selama ini bergantung harap pada hasil tangkapan daripada sungai tersebut kini trauma untuk menjejakkan kaki ke situ.


"Apa yang lebih menyedihkan mayat ayah ditemui dalam keadaan sungguh menyayat hati.


"Kami ingin mendapatkan bantuan pawang Indet untuk memburu buaya yang membaham ayah tetapi soal bayaran perlu dibincang terlebih dahulu kerana kami bukanlah berduit sangat," katanya.


Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi Khamis lalu, Derahman dibaham buaya di tebing Sungai Saribas sewaktu turun untuk membasuh tangan sebelum menikmati bekal yang dibawa ke tempat kerja.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment