Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Maut kereta tembung

GUA MUSANG: Seorang peniaga maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Tupai, Gua Musang, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Hermang Ahmad, 59, dikatakan memandu kereta Proton Iswara dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Lipis.

Ketika tiba di jalan itu, keretanya gagal dikawal lalu bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang guru, Azrul Nizam Omar, 20.
Hermang dari Taman Tas, Kuantan, Pahang maut di tempat kejadian manakala Azrul Nizam cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang yang diketuai Ketua Operasi, Ab Ghani Yaacob dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.09 pagi.

Menurut Ab Ghani, ketika tiba di tempat kejadian mangsa masih tersepit di tempat duduk dalam keadaan cedera parah dan mengambil masa lima minit untuk dikeluarkan.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

"Mangsa berjaya dikeluarkan tetapi meninggal di tempat kejadian," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya, petang semalam.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment