Search This Blog

Thursday, July 5, 2012

Masih pegang kad pengenalan merah walaupun lahir di negara ini

Masih pegang kad pengenalan merah walaupun lahir di negara ini - Kelantan - Sinar Harian:

Masih pegang kad pengenalan merah walaupun lahir di negara ini
Giok Teng (kanan) memperkatakan sesuatu ketika menerima kunjungan Boon Chong di rumah adiknya di bandar Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Meskipun kini lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar enam tahun lalu, pemegang kad pengenalan merah berstatus penduduk tetap, Ang Giok Teng, di sini, tetap menyimpan impian untuk menjadi rakyat   negara ini.

Keperluan Giok Teng kepada pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia semakin mendesak selepas warga emas berusia 80 tahun itu disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan sekarang hanya mampu berkerusi roda.

Giok  Teng berkata, tanpa taraf kerakyatan dan sijil kewarganegaraan, dia berdepan pelbagai masalah dan kesulitan terutama sukar untuk memohon bantuan agensi kerajaan selepas diserang penyakit itu pada 2006.

“Kalau boleh, saya nak terima bantuan kerajaan atas nama sendiri kerana sekarang, saya bernasib baik dapat ‘pinjam’ nama adik ipar untuk minta bantuan,” katanya yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Giok Teng kini dijaga adiknya, Ang Eng Khon, 66, dan isteri, Lue Chai Tiu, ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi MCA cawangan Guchil, Yu Boon Chong di kediamannya di pekan Kuala Krai, semalam.

Menurut Giok Teng, dia sepatutnya berhak menjadi warganegara kerana lahir dan dibesarkan di negara ini, bahkan mendakwa, mendiang bapanya adalah pemegang kad pengenalan biru.

“Dalam sijil kewarganegaraan bapa saya ada tercatat nama saya dalam senarai anak tetapi, sijil kerakyatan itu hilang,” katanya. Gion Teng mendakwa, dia sudah beberapa kali menghantar permohonan kepada agensi kerajaan  berkenaan bagi mendapatkan taraf kerakyatan negara ini namun ditolak.

“Pernah sekali saya dapat surat panggilan supaya datang ke Wisma Putra, Kuala Lumpur tetapi waktu itu, saya sedang sakit dan kini, saya tidak tahu di mana surat itu,” katanya yang tidak sedarkan diri kira-kira dua minggu akibat diserang angin ahmar.

Sementara itu, Boon Chong berkata, kedatangannya semalam bagi mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai bantuan dimohon Giok Teng selepas masalah itu disuarakan kepada Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi  Ab Rahman, baru-baru ini.

“Ramzi datang sampaikan sumbangan kerusi roda baru kepada Giok Teng dan Giok Teng mohon bantuan supaya dia boleh dapat kad pengenalan biru.

“Saya harap agensi kerajaan berkaitan boleh buat susulan kes Giok Teng ini dan mungkin membantunya mendapatkan kerakyatan berdasarkan kelayakan serta maklumat yang ada,” katanya. 

No comments:

Post a Comment