Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

Mangsa keempat ditemui



         
LABUAN: Selepas lebih 48 jam bertungkus-lumus menjalankan kerja menyelamat, akhirnya mayat mangsa keempat dalam kejadian letupan Kapal MT Bunga Alpinia ditemui terapung di Kampung Nagalang, kira-kira 12 kilometer dari Jeti Petronas Methanol Labuan (PML), di sini, semalam.

Mangsa keempat ditemui kira-kira jam 9 pagi disahkan sebagai Errol Calau-an Colangay, 32, selepas pengecaman dilakukan rakan dan ahli keluarga mangsa di bilik mayat Hospital Nukleus Labuan.


Penemuan itu menjadikan empat mangsa sudah ditemui manakala Muhammad Nazrin Khamsani, 20, dari Negeri Sembilan masih hilang.

Selain Errol, mangsa yang terkorban setakat ini adalah Shahril Azmi Baharuddin, 28; Mohd Hanafi Khalil, 24 dan Zahari Hassim, 46.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Zainal Madasin, berkata mayat warga Filipina itu ditemui sepasukan anggota mencari dan penyelamat dalam keadaan terapung dan tidak berpakaian.


“Mayat sudah dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk bedah siasat,” katanya.

Zainal berkata, pihaknya akan meluaskan lokasi pencarian seorang lagi berikutan ada kemungkinan anak kapal yang masih hilang hanyut ke kawasan lebih jauh.


“Kita masih meneruskan operasi dengan kerjasama pelbagai agensi selain mengawal api daripada bangkai kapal yang masih panas,” katanya. Katanya, bomba masih meneruskan usaha ‘menyejukkan’ kapal sebelum berusaha menghampiri kapal berkenaan.

“Proses penyejukan masih dilakukan dan memerlukan masa 48 jam sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.


“Pada masa sama, usaha mengesan seorang lagi mangsa diteruskan terutama sekitar Nagalang dan Kompleks Sukan Air,” katanya.

No comments:

Post a Comment