Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Mami... saya takut

SIMUNJAN: “Mami... tolong... saya takut,” begitulah ungkapan terakhir Siti Khuzaimah Annuar, 26, sebelum mayatnya ditemui terapung di Triso selepas helikopter dinaiki terhempas di muara Batang Lupar, pagi kelmarin.
Perkara ini diceritakan seorang ahli keluarganya apabila Siti Khuzaimah menghubungi ibunya, Hashimah Fadli, 47, untuk memaklumkan dia dalam ketakutan.

“Perbualan itu hanya beberapa saat sebelum terputus dan usaha menghubungi semula Siti gagal hinggalah kami dimaklumkan berita mengenainya.
“Sebelum arwah meninggalkan rumah untuk ke tapak projek di Nanga Merit, Kapit, dia sempat menghulurkan sekeping gambar berukuran pasport kepada ibunya supaya disimpan sebagai kenangan.

“Kami sekeluarga tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan, namun kini sedar itulah permintaannya yang terakhir,” katanya ketika ditemui di rumah di Samariang.

Siti Khuzaimah antara tiga penumpang yang dilaporkan hilang selepas helikopter dinaiki dan dipandu juruterbang warga Jerman, Riko Stiger, 35, terhempas jam 9.30 pagi kelmarin.
Helikopter Eurocopter Dauphin 2 dikatakan berlepas dari Kuching jam 8.57 pagi menuju ke Kapit. Bagaimanapun, hanya beberapa minit selepas berlepas, Stiger dikatakan menghubungi unit kawalan udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Kuching untuk membuat pendaratan cemas berikutan cuaca buruk.

Helikopter dilaporkan berlepas dalam keadaan cuaca buruk dan juruterbang bersama tiga penumpang dilaporkan terjun lebih awal sebelum ia terhempas.
Sementara itu, bapa saudaranya, Jamil Razali, 58, berkata Siti Khuzaimah yang bertunang awal tahun ini bakal melangsungkan perkahwinan Disember depan.

“Pada pagi sebelum bertolak ke pejabat, arwah kelihatan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami hanya mengetahui kejadian yang menimpanya selepas dimaklumkan syarikat, jam 4 petang semalam (kelmarin).

“Arwah adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekerja dengan syarikat itu sejak dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, mayat seorang lagi penumpang, Peter Ato Mayau, 53, ditemui di perairan berdekatan Kampung Tebelu, jam 2.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk.

“Saya berharap untuk menemui suami dalam keadaan selamat, tapi kini hanya tinggal harapan kerana dia meninggal dunia,” kata Agnes Batang, 45, isteri Peter Ato.

Menurutnya, dia tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka sebelum Peter pergi ke Nanga Merit, Kapit, kelmarin.

“Saya sedih dan cuba bertahan demi anak kerana jika saya menunjukkan kesedihan, pasti mereka bertambah sedih.

“Saya kena tabahkan hati demi tiga anak. Saya masih ingat pesanan terakhir dia yang mahu saya menjaga anak dengan baik. Kami sekeluarga memerlukan masa untuk menenangkan diri kerana masih terkejut dengan berita ini, terutamanya tiga anak saya,” katanya ketika ditemui.

Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat menemui bangkai helikopter di Perairan Triso dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) masih menjalankan siasatan. Kipas utama helikopter itu dijumpai jam 4.30 petang.

No comments:

Post a Comment