Search This Blog

Friday, July 13, 2012

Majistret tersenyum tengok gelagat tertuduh beri salam - Utara - Sinar Harian

GEORGETOWN - ‘Assalamualaikum Yang Arif, dan selamat  sejahtera kepada mahkamah’, ucap seorang tertuduh warga emas dengan kuat setelah namanya dipanggil jurubahasa untuk dibacakan pertuduhan.
Gelagatnya membuatkan Majistret Noor Aini Yusof dan orang awam di galeri tersenyum seketika dengan kelakuan tertuduh, Ghulam Aziz di Mahkamah Majistret itu.
Tertuduh yang memakai t-shirt dan berselipar itu didakwa melakukan kesalahan menyimpan ganja di dalam puntung rokok ketika berada di Pasara Chowrasta Jalan Penang.
Dalam kertas pertuduhan pertamanya itu, Ghulam didapati melakukan kesalahan tersebut pada 6 Jun 2012 pada kira-kira jam 3 petang.
Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan  hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memasukkan dadah ke dalam badannya tanpa kebenaran.
Akibatnya dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaaan 2004) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduaduanya sekali.
Dia yang kemudiannya mengaku bersalah memohon hukuman diringankan kerana masih belum berkahwin.
“Gaji saya hanya RM800 sebulan sahaja dan dadah itu  bukan untuk pengedaran, tolonglah rendahkan hukuman saya,” katanya.
Noor Aini kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama sementara penjara lima bulan bagi pertuduhan kedua.
“Tertuduh juga dikehendaki menjalani pengawasan di bawah penyeliaan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment