Anggota bomba berusaha memadam kebakaran pada kontena di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan, ke
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran pada kontena di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan, kelmarin.
LEMBAH BERINGIN - Seorang pemandu lori kontena kelihatan panik apabila muatannya terbakar di Kilometer 409.4 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur dekat susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin di sini jam 9.25 malam kelmarin.

Seorang saksi, V Balasundaram, 44, yang melihat kejadian itu berkata, pemandu lori kontena terbabit bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan memisahkan muatan daripada kepala lori.

“Ketika saya tiba kebakaran pada tayar belakang kontena itu masih kecil dan disebabkan tiada sesiapa yang mampu memadamnya menyebabkan api membakar sehingga sebahagian kontena.

“Kejadian itu biasanya disebabkan kegagalan brek belakang berfungsi menyebabkan ia terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Balasundaram yang ditemui berhenti di laluan bersebelahan berkata, hanya selang beberapa minit sebuah jentera bomba daripada Balai Bomba Tanjung Malim tiba memadam kebakaran.
Menurutnya, walaupun api berjaya dikawal namun disebabkan kebakaran pada muatan kontena menyebabkan api sekali lagi dilihat membakar kontena terbabit.

Sejurus selepas itu, dua jentera bomba dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu tiba membantu memadam kebakaran.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya beberapa minit kemudian dan pemandu lori yang berada kira-kira 100 meter dari kontena terbabit datang memaklumkan punca kejadian kepada anggota bomba dan polis yang berkawal.

“Kebakaran itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pemandunya atau pengguna jalan raya lain,” katanya yang dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.

Tinjauan mendapati, bahu jalan ditutup sepenuhnya dan asap kelihatan menyelubungi udara sehingga sedikit menghalang pemandangan pemandu ke arah Selatan.

Kesesakan turut berlaku di kedua-dua hala memandangkan pengguna memperlahankan kenderaan bagi melihat kejadian itu.