Search This Blog

Wednesday, July 18, 2012

Lori 8,000 liter petrol

PADANG BESAR: Seorang lelaki bertindak menyembunyikan sebuah lori dua tan yang sarat dengan muatan 8,000 liter petrol bersubsidi di kawasan Masjid Titi Tinggi, di sini, sebelum dijual kepada penyeludup untuk dibawa masuk ke negara jiran.
Malah, suspek berusia 22 tahun itu kelihatan berlegar-legar di kawasan sekitar menggunakan kenderaan itu sebelum menjual bahan bakar berkenaan kepada penyeludup yang menaiki kereta seolah-olah seperti sebuah stesen minyak bergerak.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, kegiatan suspek berjaya dilumpuhkan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) selepas menahan sebuah lori dengan muatan petrol bersubsidi dipercayai cuba dijual kepada kenderaan Thailand sebelum diseludup ke negara jiran.
Komander UPP Perlis, Deputi Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata suspek sanggup membahayakan dirinya dengan mengangkut lapan tong plastik berkenaan di mana setiap satunya bermuatan 1,000 liter petrol “Sindiket yang dipercayai mempunyai rangkaian dengan negara jiran itu dipercayai memperoleh bekalan dari stesen minyak di sekitar Kedah sebelum menjual petrol secara bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil maklumat awam, sepasukan anggota UPP menyerbu kenderaan yang dipandu suspek di perkarangan Masjid Titi Tinggi selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penjualan petrol subsidi kepada kenderaan Thailand untuk tujuan penyeludupan.

“Pemeriksaan menemui lapan tong plastik di bahagian belakang lori bermuatan 8,000 liter petrol bernilai RM15,200 disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan, suspek mengaku pernah melakukan kegiatan sama sebanyak enam kali sebelum ini iaitu bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi pelanggan.

Katanya, suspek memilih kawasan masjid untuk dijadikan lokasi transit untuk menjual minyak berkenaan kerana menganggap kawasan itu selamat, selain dapat mengaburi pihak berkuasa.
“Selain itu, kita juga merampas lapan tong minyak dan lori yang dipandu suspek bernilai RM38,800.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM15,000 atau penjara atau keduanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment