Keratan muka depan Sinar Harian, semalam.
Keratan muka depan Sinar Harian, semalam.
PORT DICKSON – Lima daripada 14 orang yang dimasukkan ke Hospital Port Dickson, petang Khamis lalu akibat keracunan makanan sudah dibenarkan pulang, semalam.

Sumber Hospital Port Dickson berkata, kelima-lima mereka yang dibenarkan pulang adalah pelajar Kolej Uniti yang ditempatkan di Wad 2 hospital terbabit selepas dua hari mereka mendapatkan rawatan di situ.

“Sementara dua pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sudah keluar dan dimasukkan ke Wad 2 untuk rawatan susulan.

“Setakat ini semua pesakit termasuk dua kanak-kanak yang ditahan di Wad Pediatrik berada di dalam keadaan stabil,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Sementara itu, sehingga semalam, tiada sebarang mangsa baru diterima Hospital Port Dickson berhubung keracunan makanan berpunca daripada bazar Ramadan sama.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Klinik Kesihatan Pasir Panjang di sini, menerima seramai 38 pesakit yang mengadu sakit perut dan cirit birit sekitar 3 petang Khamis lalu.

Kesemua pesakit mendakwa mereka memakan makanan berasaskan sup yang dijual di sebuah gerai bazar Ramadan berhampiran Kolej Uniti, Tanjung Agas semasa berbuka, petang Rabu lalu.