Larikan anak elak didera
Devi menunjukkan tangannya yang cedera dipukul suami.
SEREMBAN – Bimbang anak didera suami, seorang ibu sanggup menghantar tiga anak perempuannya ke rumah kebajikan bagi menyelamatkannya.

Ibu muda yang mahu dikenali sebagai Devi, 27, berkata, dia terpaksa berpisah dengan anak-anaknya yang berusia dua, tiga dan empat tahun itu kerana mahu memastikan kesemua anaknya dalam keadaan selamat.

Berikutan itu, katanya, dia menghantar anaknya ke Rumah Kebajikan Kanak-kanak Vivekenande di Rembau selepas tidak tahan melihat anaknya sering dipukul.

“Saya lebih rela berpisah dengan anak-anak daripada melihat mereka dicederakan ayahnya sendiri. Cukuplah selama ini kami menderita dan menahan sakit dipukul dan didera,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Menceritakan kejadian yang menimpa keluarganya itu, Devi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital, di sini berkata, dia bersama anak-anak mula didera suami sejak beberapa tahun lalu, namun enam bulan  kebelakangan ini, suaminya hampir setiap hari memukulnya dan anak-anak.

“Suami saya tidak bekerja dan mengambil dadah menyebabkan hidupnya tidak menentu. Saya terpaksa bekerja siang dan malam bagi menyara anak-anak. “Suami pula mengabaikan tanggungjawab dan sanggup memukul saya dan anak-anak kerana tekanan hidup,” katanya.

Devi yang tinggal di Taman Kelab Tuanku, Mambau, di sini berkata, suaminya pernah memukulnya dengan getah paip di beberapa anggota badan.

"Anak ketiga saya juga terpaksa menerima jahitan di kepala kerana dipukul suami,”katanya. Menurutnya, dia terpaksa melarikan diri daripada rumah, Rabu lalu, kerana tidak tahan dengan sikap suaminya itu.

“Saya melarikan diri dari rumah dan menetap sementara di asrama tempat bekerja, manakala anak-anak di hantar ke rumah kebajikan kerana bimbang suami akan mencari kami. “Ketiga-tiga anak saya kini selamat di rumah kebajikan tersebut manakala anak bongsu yang berusia setahun berada dalam jagaan saya,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi rumah kebajikan berkenaan, P.Ramesh berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaannya.

Ibu berkenaan juga sudah membuat laporan di Balai Polis Mambau, di sini. Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.