IPOH – Polis menahan sembilan suspek berusia 25 hingga 40 tahun dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap geng 04 dan geng 08 di Menglembu, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, kumpulan penjenayah itu menyerang empat anggota polis ketika melakukan rondaan di Jalan Perusahaan Menglembu 13.

“Mereka masih ditahan untuk membantu siasatan dan kumpulan ini disifatkan sebagai sangat agresif dan siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh,” katanya di sini, kelmarin.

Sebelum itu, lapan suspek berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan termasuk meminta tujuh lelaki tampil membantu siasatan berhubung kes sama.

Sementara itu, beliau mengingatkan pemilik perniagaan atau individu yang diugut kumpulan gangster menuntut wang perlindungan seperti di Buntong, Menglembu dan Pasir Puteh, tampil membuat laporan polis.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan daripada orang awam, walaupun mendengar banyak rungutan berkaitan kes berkenaan.

“Kita peka dengan masalah itu namun, tiada laporan polis yang dibuat orang awam di balai Buntong, Kampung Baru, Menglembu dan Pasir Puteh.

"Kita hanya terima satu laporan di Balai Polis Simpang Pulai pada 4 Julai lalu.,” katanya. Orang ramai diminta salurkan maklumat dengan menghubungi hotline 05-2542222 atau menghubungi bilik kawalan polis di talian 05-2451563 dan 05-2451562.