Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Kes ragut kerani wanita : Seorang lagi suspek ditahan

MELAKA - Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R. Gunarajan berkata suspek lelaki berbadan gempal berusia 24 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 21 tahun dalam satu operasi khas di sebuah hotel bajet di Batu Berendam di sini pada 3 petang semalam.
"Dari maklumat yang diberi suspek, seorang penggangur, polis dapat menemui sebuah beg yang dicampak di dalam semak di belakang sebuah hotel di Tengkera dan menemui kad pengenalan mangsa, lesen memandu, dan juga kad Bonuslink," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Barang-barang tersebut disahkan kepunyaan si mati oleh keluarga mangsa dan percaya kes tersebut telah berjaya diselesaikan pihak polis.
Katanya ketika diberkas, suspek yang dipercayai membawa motor semasa kejadian ragut itu, terjun dari tingkat satu bangunan hotel tersebut ketika cuba melarikan diri namun berjaya  ditangkap pihak polis.
Beliau berkata hasil siasatan polis merampas dua motosikal yang dikesan motosikal curi di mana satu daripada motosikal tersebut dipercayai telah dibawa suspek semasa kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan sehingga hari ini menunjukkan kumpulan itu terlibat dalam 25 kes di seluruh Melaka.
Dalam kejadian 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35, yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Beliau berkata kumpulan tersebut dipercayai menggunakan taktik bersembunyi di inap desa atau hotel dan keluar meragut untuk membeli dadah.
Katanya kedua-dua suspek yang ditahan juga positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302  Kanun Keseksaan.
Katanya seorang lagi rakan suspek dalam kes ragut kerani wanita itu ditahan pada 9 Julai lalu, ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok.
Hasil siasatan remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa. - Bernama

No comments:

Post a Comment