Search This Blog

Thursday, July 12, 2012

Kes amuk disiasat menyeluruh


ISMAIL Omar (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada wakil Balai Polis Puchong pada Majlis Anugerah Liga Balai Siri 1/2012 di Balai Polis Puchong, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Julai - Siasatan berhubung kes dua individu yang menyerang serta mengamuk di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya kelmarin akan dibuat secara menyeluruh, termasuk kaitan mereka dengan pertubuhan ajaran sesat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, polis sedang meneliti laman-laman sosial, termasuk blog dan Facebook milik suspek lelaki yang mengaku sebagai 'Imam Mahadi', Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, untuk menyiasat sejauh mana penglibatannya dengan kumpulan ajaran sesat.
Katanya, polis menyifatkan kes itu sebagai terpencil dan tidak dilakukan melalui perancangan yang rapi, namun akan terus menyiasat lebih lanjut.
"Siasatan awal mendapati, kejadian amuk ini bukan dirancang dan ia bukan satu komplot besar-besaran.
"Kita akan mengesan laman sosial seperti Facebook yang dimiliki lelaki itu untuk menyiasat kewujudan ajaran sesat yang mempengaruhinya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Liga Balai Siri 1/2012 di Balai Polis Puchong, dekat sini hari ini.
Khalil Afandi meninggal dunia akibat ditembak oleh anggota polis selepas dia dan rakan wanitanya, Muhdalina Ahmad, 28, mengamuk menggunakan dua bilah pedang samurai selepas menceroboh pekarangan bangunan kerajaan.
Ismail dalam pada itu turut memuji tindakan pantas yang diambil oleh pengawal keselamatan dan anggota polis di tempat kejadian.
"Apa yang penting, tindakan dan respons awal oleh pengawal serta pasukan polis yang datang ke situ bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
"Respons pantas itu membolehkan keadaan dapat dikawal, terutama sekaligus tidak melibatkan kecederaan orang awam," jelasnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menasihatkan pegawai serta anggota polis agar tidak segera berpuas hati dengan perkhidmatan serta pencapaian yang diberikan kepada masyarakat, sebaliknya perlu meneroka pendekatan baru untuk memberi kepuasan kepada rakyat.
"Setiap polis perlu terus berusaha gigih secara terancang untuk meningkatkan prestasi supaya rakyat yakin bahawa bahawa kita sentiasa memberi perkhidmatan yang cemerlang.
"Kita juga perlu bersedia untuk mengorak langkah dengan pendekatan-pendekatan yang baru yang dilihat lebih sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa. Saya berharap setiap polis membudayakan sifat produktif, inovasi dan kreativiti dalam skop penugasan masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment