Kemalangan: Dua beradik maut elak babi
Mangsa, Dzularif Abdullah Sani, 19, maut akibat kecederaan parah di bahagian dada.
GERIK – Gara-gara cuba mengelak seekor babi hutan yang melintas secara tiba-tiba, dua beradik menemui ajal apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu terbalik ke dalam sebuah longkang di Kilometer 68.8 dekat Lawin, awal pagikelmarin.

Mangsa, Dzularif Abdullah Sani, 19, maut akibat kecederaan parah di bahagian dada. Sementara adiknya, Nursyafina, 12, maut akibat parah di kepala. Ketua Polis Trafik Daerah Gerik, Inspektor Muhd Zamzuri Mat Nawawi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai membersihkan premis perniagaan milik bapa mereka di Selat Pagar, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, ketika melalui laluan di kilometer berkenaan, seekor babi hutan muncul secara tiba-tiba menyebabkan Dzularif gagal mengawal kereta yang dipandu sebelum terbabas dan memasuki longkang.

“Mungkin kerana terkejut, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan hingga terbalik sebelum memasuki longkang berhampiran. “Kedua-dua mangsa dipercayai maut di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Muhd  Zamzuri berkata, kereta dinaiki mangsa rosak teruk akibat kejadian tersebut.

Katanya, kereta berkenaan telah pun dihantar kepada pihak Puspakom di Taiping untuk pemeriksaan lanjut. “Kita tidak sangka kerana jarang berlaku kemalangan di situ sebelum ini, apa pun, orang ramai perlu berhatihati bagi  mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.