Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

JKM selamat 24 gelandangan

JKM selamat 24 gelandangan - Pahang - Sinar Harian:
Anggota penguat kuasa membantu seorang warga emas menuruni tangga.
Anggota penguat kuasa membantu seorang warga emas menuruni tangga.
KUANTAN - Pelbagai karenah gelandangan dapat dilihat bagi mengelak daripada ‘dicekup' Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam operasi bersepadu membasmi kegiatan pengemis dan kutu rayau di bandar Kuantan di sini, malam kelmarin.

Kebanyakan mereka memberi alasan sakit dan datang bersiar-siar ke Kuantan ketika didekati anggota penguat kuasa dalam operasi bermula jam 11 malam dan berakhir 2 pagi itu.

Malah ada juga yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk dan kedegilan mereka yang kebanyakan warga emas memaksa anggota penguat kuasa mengangkat mereka ke kenderaan yang disediakan.


Beri pelbagai alasan

Seorang wanita berusia 53 tahun mendakwa dari Pattani datang ke Kuantan, kelmarin, untuk bekerja namun tiada tempat tinggal menyebabkan dia terpaksa bermalam di Terminal Makmur.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) merupakan satu-satunya wanita yang diselamatkan dalam operasi itu.

Selain itu, seorang warga emas dalam lingkungan 60-an ‘diserang’ lelah secara tiba-tiba selepas melihat pasukan penguat kuasa mendekatinya.

Situasi sedikit mencemaskan apabila lelaki itu enggan diselamatkan dan memberi alasan mahu ke klinik sendirian.

Namun selepas beberapa minit dipujuk, dia akhirnya akur dan berjaya dibawa ke tempat penginapan sementara di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan.


Enam agensi terlibat operasi

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM negeri, Mohd Azahari Mohd Daut berkata, seramai 24 gelandangan termasuk kutu rayau, pengemis dan peminta derma berusia 13 hingga 70 tahun diselamatkan JKM dalam operasi bersepadu itu yang dijalankan bersama enam agensi berkaitan bagi membasmi kegiatan mengemis dan kutu rayau di bandar Kuantan.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kuantan, Agensi Antidadah Kebangsaan  dan Jabatan Imigresen Pahang.

“Dalam operasi yang disertai 75 anggota itu, enam lokasi tumpuan dijejaki bagi menyelamatkan mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan mengemis dan gelandangan.

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah Jalan Pasar, Terminal Makmur, Esplanade, Tanjung Lumpur, Jalan Beserah dan sekitar bandar Kuantan,” katanya.

Mohd Azahari berkata, 24 yang diselamatkan itu terdiri daripada 19 lelaki dan seorang wanita termasuk empat remaja berusia 13 dan 14 tahun dipercayai daripada pusat tahfiz yang cuba meminta derma.

“Bagi kes pengemis dan kutu rayau, mereka diselamatkan di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977, manakala bagi kanak-kanak pula mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kesemua yang ditahan akan ditempatkan sementara di pusat perlindungan dalam tempoh sebulan bagi mengenal pasti waris atau keluarga. Jika gagal mereka akan di letakkan di bawah perlindungan JKM,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi menjaga imej bandar Kuantan terutama sempena Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 yang kini sedang berlangsung.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment