Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran semalam.
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran semalam.
FELDA SUNGAI TEKAM - Kegembiraan seorang penerokawati menerima durian runtuh sebanyak RM5,000, Khamis lalu diragut sekelip mata apabila kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.

Mangsa yang juga ibu tunggal,  Rokiah Awang, 64, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi  ketika dia keluar membeli barangan keperluan dapur di kedai berdekatan.

Menurutnya, dia hanya menyedari rumahnya terbakar setelah dimaklumkan orang ramai dan pemilik kedai, menyebabkannya bergegas pulang ke rumah.

“Saya keluar rumah untuk ke kedai jam 11 pagi. Ketika meninggalkan rumah, tiada barangan elektrik ditinggalkan dalam keadaan terpasang, dapur tidak digunakan selain kesemua suis ditutup.

 “Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan orang ramai dan pemilik kedai  rumah saya terbakar. Tanpa berlengah saya terus pulang, namun sesampainya di rumah, api sudah terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Rokiah berkata, jiran dan penduduk lain datang membantu, namun gagal menyelamatkan walau satu pun barangan kerana api marak dan keadaan berbahaya.

“Tiada apa yang dapat diselamatkan langsung dan saya kini tinggal sehelai sepinggang.  Yang ada pada saya hanyalah barangan dapur yang dibeli di kedai sebelum kejadian, bersama kad pengenalan dan pakaian yang ada di badan,” katanya.

Rokiah berkata, ketika kejadian, rumah kosong kerana tiga anak lelakinya keluar bekerja seawal pagi.

Menurutnya, dia kini terpaksa menumpang tinggal bersama anaknya di Tekam Resort untuk sementara waktu.

Sinar Harian difahamkan, Rokiah sempat menyimpan cek durian runtuh yang diterimanya sehari sebelum kejadian kebakaran itu berlaku.


JKKK lancar derma kilat, sedia kemudahan penginapan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam, Hashim Kadir berkata, kejadian kebakaran itu antara kes ketujuh dicatatkan berlaku di tanah rancangan tersebut sepanjang lebih 30 tahun kawasan itu dibuka.

Menurutnya, JKKK bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mengharapkan mereka tabah menerima ujian tersebut di bulan Ramadan ini.

“Kita lancarkan kutipan segera derma kilat, khusus untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa, selain membantu mangsa menguruskan laporan polis dan merujuk mereka kepada pihak berkenaan.

“JKKK turut bersepakat dengan pengurusan Felda menyediakan rumah Gerakan Persatuan Wanita (GPW) untuk kegunaan Rokiah dan anaknya bagi tempoh sementara waktu,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun beliau tidak menghalang jika Rokiah mahu menetap di rumahnya anaknya di Tekam Resort.

 “Apa yang penting kita harapkan keluarga mangsa selamat dan mempunyai tempat tinggal selesa untuk berteduh dan menetap,” katanya.


Dua jentera, 11 anggota padam kebakaran

Sebanyak 11 anggota dan dua jentera bomba penyelamat dari Jerantut dan Jengka terlibat dalam operasi memadam kebakaran, semalam.

Ketua Operasi, Mohd Ghazali Ismail berkata, jentera pertama iaitu dari Bandar Pusat Jengka tiba di tempat kejadian jam 12 tengah hari  disusuli jentera kedua dari Bandar Jerantut.

Menurutnya, api dapat dikawal sepenuhnya 10 minit kemudian dan pada 12.40 tengah hari, keseluruhan api berjaya dipadamkan.

 “Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian. Kejadian berlaku ketika rumah ditinggalkan kosong, justeru tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.