Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Ibu redah asap demi selamatkan tiga anak

Ibu redah asap demi selamatkan tiga anak - Terengganu - Sinar Harian:


Redah asap selamat tiga anak
Suriani Mohamad, 39, menerima kunjungan Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Hassan Mohd Ramli (tiga kanan) yang turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada wanita malang itu.


DUNGUN - "Sebaik menyedari rumah saya terbakar, saya bergegas mengejutkan anak yang sedang tidur sebelum mencapai kunci kereta lalu keluar menyelamatkan diri. dan dalam sekelip mata sahaja rumah kami terbakar."

Demikian luah Suriani Mohamad, 39, ibu tunggal kepada tiga anak yang nyaris menjadi korban dalam kebakaran selepas api yang dipercayai bermula di hadapan rumah marak sebelum meranapkan rumah didudukinya sejak lebih 10 tahun lalu itu.

Menurut Suriani, ketika kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, dia bersama tiga anaknya Nur Suria Natasha Hamdan, 15, Mohd Shahril Mohd Saidi, 12 dan Mohd Shafiq Mohd Saidi, 14, sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan bau hangit diikuti asap tebal mula menyelubungi
ruang tamu rumahnya.

Katanya, pada masa sama, dia turut terdengar beberapa bunyi letupan dari bahagian hadapan rumah dan ketika itu hanya satu dalam fikirannya iaitu mencari jalan untuk menyelamatkan diri.

Suriani berkata, tanpa berfikir panjang, dia terus mengejutkan tiga anaknya lalu nekad meredah asap sebelum mencapai kunci kereta yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.

“Walaupun ketika itu, bunyi letupan dan asap tebal menyelubungi ruang tamu, saya kuatkan semangat untuk mendapatkan kunci kereta dan kemudiannya kami bertiga bergegas keluar melalui pintu dapur sebelum saya menghidupkan enjin kereta lalu mengalihkannya ke lokasi lebih selamat,” katanya.

Katanya, dari jauh dia hanya mampu melihat struktur rumah yang dijadikan tempat berteduh bagi mereka tiga beranak itu satu persatu menyembah bumi sebelum bomba memadamkan kebakaran beberapa minit kemudian.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk memulakan semula kehidupan saya setelah semuanya musnah dijilat api.

“Dengan status saya sebagai ibu tunggal, tentu tragedi ini amat menyukarkan, saya kini tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafiq yang ditemui di lokasi kejadian berkata, dia yang sedang nyenyak tidur terpinga-pinga sebaik dikejutkan oleh ibunya yang dipanggil ‘mummy’ itu.

“Selepas kami keluar dari rumah, saya lihat api semakin besar.

“Saya cuba padamkan api menggunakan air paip, tetapi apai marak terlalu cepat menyebabkan segala usaha saya itu hanya sia-sia,” katanya.

Sementara itu, Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli yang turut meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan turut menyampaikan sumbangan peribadinya.

Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Dungun yang tiba bersama sebuah jentera serta tujuh anggota berjaya mengawal keseluruhan kebakaran sejam kemudian.

Nilai kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment