Search This Blog

Sunday, July 29, 2012

Hasrat bertunang tidak kesampaian



Oleh ABNOR HAMIZAM dan NOOR AZIMAH MD YASIN
am@hmetro.com.my
         
JEMPOL: “Malam sebelum kejadian, arwah sempat menghubungi saya memberitahu ingin bertunang dengan gadis pilihan hatinya, malah sebahagian barang hantaran sudah dibeli,” kata Rosnah Aziz, 51, ibu kepada mangsa letupan kapal MT Bunga Alpinia di Labuan, Shahril Azmi Baharuddin, 28.

Rosnah berkata, sebelum kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu sempat menghubunginya memberitahu berita gembira mengenai rancangan pertunangan itu, namun belum menetapkan tarikhnya. “Beberapa jam sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya dan kami berbual agak lama, malah selepas bercakap dengan saya, dia sempat berbual dengan adik beradiknya yang lain.


“Bagaimanapun tidak sangka hasrat arwah tidak kesampaian apabila maut dalam tragedi letupan kapal dan saya reda dengan ketentuan Ilahi, Tuhan lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Shahril di Tanah Perkuburan Islam Felda Raja Alias 3, di sini, jam 1.15 pagi semalam.

Bapa arwah, Baharuddin Yaakub, 58, berkata, dia dihubungi pihak MISC kira-kira jam 9.30 pagi, Khamis lalu mengenai kejadian malang itu. “Seorang pegawai MISC memaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa anak saya dan menyuruh kami sekeluarga ke Kuala Lumpur.


“Bagaimanapun, kami tidak percaya dengan kejadian itu, malah cuba menghubungi arwah, tetapi gagal dan kira-kira jam 12 tengah hari, hari sama, saya menerima panggilan daripada pihak MISC yang memaklumkan saya perlu ke Labuan untuk pengesahan mayat,” katanya ketika ditemui. Sementara itu, bakal tunang mangsa, Farah Zawani Mokhtar, 24, yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah berkata, dia sempat berbual dengan Allahyarham kira-kira 15 minit sebelum letupan itu berlaku.


“Dia mahu membuat panggilan video namun tak boleh kerana sedang bertugas. Kami berbual sekejap dan sebelum menamatkan panggilan, dia sempat berpesan supaya menjaga diri dan mengingatkan saya supaya jangan lupa datang ke rumah Aidilfitri nanti,” katanya sebak.

Jenazah tiba di kampung halaman di Blok K, Felda Raja Alias 3 pada jam 12 tengah malam selepas usaha MISC membawa pulang menerusi penerbangan dari Kota Kinabalu jam 5 petang dan selamat dikebumikan semalam.

No comments:

Post a Comment