Anggota bomba
Anggota bomba berusaha memadam api dari terus merebak ke tempat lain dalam kebakaran, petang kelmarin.
KOTA BHARU - Baru lapan hari umat Islam berpuasa, empat sekeluarga terpaksa menempuh detik perit apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Wakaf Mek Zainab, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan kesemua kediaman separuh kekal yang dipercayai disewa hangus sekelip mata.

Seorang penyewa rumah berkenaan, Rokiah Yahya, 57, berkata semasa kejadian, dia sedang memasak hidangan untuk berbuka puasa, di dapur dan dikejutkan dengan bunyi letupan dari rumah sebelah dan ternampak api bermula dari tingkat atas rumah terbabit.

“Terkejut melihatkan keadaan itu, saya terus mencapai beg tangan di luar dan beberapa dokumen penting dan terus keluar dari rumah serta mendapatkan cucu, Asri Aidil Hasan, 7, yang sedang bermain di luar rumah.

“Semua barangan lain saya tidak sempat ambil, kerana terkejut dan terus berlari keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut seorang lagi penyewa di kawasan terbabit, Midah Abdul Rahman, 41, semasa kejadian dia berada di bazar Ramadan bersama suami membeli juadah.

“Saya hanya dimaklumkan selepas sampai di kawasan rumah oleh jiran tetangga dan terkejut melihat rumah terbakar dan semua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan.

“Saya menyewa di kawasan ini hampir sembilan tahun dan kini kami perlu mencari kediaman baru,” katanya.

Midah berkata, persiapan kelengkapan raya juga turut musnah termasuk pakaian baru enam anaknya selain pakaian dia dan suami.

“Sedih bila mengenangkan nasib kami selepas ini kerana kami tidak sempat selamatkan barangan dan kelengkapan rumah,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Sabri Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.45 petang dan sampai di tempat kejadian 10 minit selepas itu.

“Empat jentera dihantar ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 anggota.

“Semasa kami sampai, hampir 90 peratus kediaman terbabit telah terbakar,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kerugian dianggarkan bernilai RM70,000 dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian.