Search This Blog

Monday, July 23, 2012

Empat rentung satu keluarga

JEMPOL: Identiti empat individu yang rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka berlanggar dengan lori tangki diesel di Kilometer 37 Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin, sudah dikenal pasti.
Jurucakap polis berkata, mangsa ialah pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara, Tan Tiong Cheng @ Tiong Aik dan isterinya, Yu Lay Tieng, kedua-duanya berusia 51 tahun, serta dua anak lelaki mereka, Zi Hou, 18, dan Zi Yuan, 20.

Menurutnya, semua mangsa beralamat di No 1761, Taman Kuala Krai, Kuala Krai Kelantan, manakala pemandu lori, M Raja Priyan, 45, yang cedera kini dirawat di Hospital Pakar Mawar, Seremban.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut didapati semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menjemput anak bongsu mereka yang belajar di kolej matrikulasi di Melaka.

Katanya, siasatan juga mendapati kemalangan berlaku apabila lori tangki dari arah Keratong hilang kawalan, menyebabkan ia melintang jalan lalu berlanggar dengan kereta dipandu Tan.

“Nissan Navara itu bagaimanapun tidak terus terbakar, sebaliknya kita percaya kebakaran bermula daripada tumpahan minyak lori yang mengalir ke kenderaan mangsa.
“Tangki lori itu juga dipercayai terbelah dua, menyebabkan berlakunya tumpahan minyak yang serius dan aliran minyak itu terkena kenderaan mangsa,” katanya ketika ditemui.

Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya hanya penumpang di sebelah pemandu yang tersepit manakala yang lain pengsan akibat pelanggaran itu.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik mayat Hospital Jempol apabila sebahagian ahli keluarga mereka menunggu bedah siasat dilakukan.

Kakak mangsa, Bee Leng, 55, berkata, kali terakhir dia berjumpa adiknya, Tiong Cheng sekeluarga pada Mei lalu ketika menyambut ulang tahun kelahiran ibu mereka.

“Adik saya bekerja sebagai penyelia syarikat pembinaan manakala isterinya suri rumah sepenuh masa.

“Saya difahamkan, dia sekeluarga menjemput anak saudara saya, Zi Hou yang menyambung pelajaran di kolej matrikulasi di Melaka selepas mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia manakala abangnya, Zi Yuan menuntut di Kolej Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur,” katanya.

No comments:

Post a Comment