Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

Duda tiga anak berdepan hukuman penjara

Duda tiga anak berdepan hukuman penjara - Terengganu - Sinar Harian:JERTIH - Walaupun baru sebulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri susu tepung, seorang penganggur tidak pernah serik apabila dia sekali lagi ditangkap polis atas kesalahan memiliki dadah Selasa lalu.

Duda tiga anak itu ditangkap anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Jertih apabila dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan Padang Astaka, Gong Kemuntong, Jertih jam 4.30 petang Selasa lalu.
Hasil pemeriksaan menemui dua biji pil merah dadah jenis methamphertamine, yang diletakkan dalam kotak rokok.

Dia kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Besut kelmarin dan dikenakan jaminan sebanyak RM6,000 untuk dibebaskan, sementara menunggu tarikh pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.

Wang jaminan maksimum itu dikenakan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat setelah tertuduh hanya membisu dan bersetuju dengan tawaran wang jaminan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Noridah Md Ayob.

Dia terpaksa meringkuk dalam penjara sehingga hari pertuduhan pada September depan sekiranya tidak mampu membayar wang jaminan berkenaan.

Sebelum ini, lelaki dari Cabang Tiga, Jertih itu, terpaksa meringkuk dua bulan dalam penjara selepas Mahkamah Majistret Besut menjatuhkan hukuman tersebut pada 19 Mac lalu apabila dia mengaku mencuri dua tin susu tepung bernilai RM70 setiap satu.

Kejadian berlaku di pasar raya Shakri Enterprise, Padang Luas pada jam 8.50 malam, 13 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Difahamkan, sebelum ini tertuduh telah menerima hukuman dua bulan penjara atas kesalahan mencuri susu di Kuala Lumpur dan kegiatan mencuri itu dilakukan semata-mata untuk mendapatkan wang.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment