Mohd Rahmat dan Arif Fikri ketika keluar dari kamar mahkamah.
Mohd Rahmat dan Arif Fikri ketika keluar dari kamar mahkamah.
JOHOR BAHRU - Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan terhadap dua sahabat selepas mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Rinting, Masai, dekat sini, 20 Jun lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Mohd Rahmat Abu Bakar, 22, dan Arif Fikri Zainal, 18, selepas mendengar pengakuan salah kedua-dua tertuduh dan berpuas hati dengan pendakwaan dibuat.

“Mahkamah berpuas hati dengan perjalanan prosiding kes dan pengakuan bersalah tertuduh. Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan fakta kes dan rayuan yang dibuat. Mahkamah menasihatkan agar kedua-dua tertuduh bertaubat dan tidak melakukan kesalahan sama.

“Kamu masih lagi muda Arif, namun mahkamah percaya kamu sudah cukup matang untuk fikir jenayah yang sudah dilakukan serta akibat daripada kesalahan dilakukan. Begitu juga dengan Mohd Rahmat. Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap dan hukuman satu sebatan ke atas kamu berdua,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rahmat dan Arif Fikri bersama dua lagi rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas Dashiwana Roslan, 21, serta mengambil wang tunai RM94, lima bungkus coklat Kinder Bueno, lima bungkus coklat Kinder Joy, duit tabung derma berjumlah RM30 dan sebuah telefon bimbit.

Kesalahan-kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sena 1, Taman Rinting, Masai, dekat sini, sekitar jam 5.40 pagi, 20 Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda serta sebatan.

Ketika kertas pertuduhan dibacakan, Mohd Rahmat dan Arif Fikri sekadar mengangguk faham seterusnya mengaku salah di atas perbuatan yang sudah dilakukan serta meminta mahkamah menetapkan hukuman ringan kerana berjanji enggan mengulangi lagi.